Friday, May 24, 2013

Datuk Norida Binti Hamzah








Tokoh: Datuk Norida Binti Hamzah
Umur: 48
Syarikat: Aerotree Defence & Services Sdn Bhd

Zaman kanak-kanak pernah menjual kuih di sekolah kini bergelar jutawan Bumiputera pengangkutan udara industri pertahanan negara. SEJAK di bangku sekolah, Datuk Norida Hamzah tidak gentar mencuba melakukan sesuatu yang jarang dibuat oleh rakan sebaya lain. Ciri keusahawanan dapat dilihat dalam dirinya apabila tanpa segan atau malu, sanggup membuat kuih dan menjualnya di sekolah. Mungkin sikapnya itu dipengaruhi bapa beliau yang turut terbabit dalam dunia perniagaan. Malah sejak kecil, kerja kuat bapanya dalam mengendalikan lori sewa miliknya menjadi sumber inspirasi untuk Norida bergelar jutawan dalam industri pertahanan dan khidmat ketenteraan hari ini.

“Saya datang daripada keluarga sederhana dengan sembilan beradik. Ketika itu, ayah ada 13 lori yang disewa untuk mengangkut barang. Tamat MCE (kini Sijil Pelajaran Malaysia), saya dapat tawaran masuk ITM (kini UiTM), tetapi tidak pergi. Saya memilih untuk bekerja dengan ayah. Ketika itulah saya lihat betapa mencabarnya bidang perniagaan dan berharap untuk bergelar usahawan suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata, terlalu banyak pahit getir yang dilalui sebelum mengecapi kejayaan hari ini sebagai satu-satunya wanita Bumiputera yang terbabit dalam industri pengangkutan udara pertahanan negara. Selepas tidak lagi meninggalkan perniagaan ayahnya, Norida menimba pengalaman sebagai pengurus selama 10 tahun di Hamidi Tech Sdn Bhd sebelum mengorak langkah demi mengembangkan kerjaya sebagai usahanita.
 

Bermula dengan penubuhan syarikat Yunikon pada 1996 sebagai sebuah syarikat yang mengambil kerja sub, ibu empat anak ini menubuhkan satu lagi syarikat kejuruteraan sivil dan infrastruktur (kelas A) pada 1998 yang dikenali sebagai Norida Cable And Construction Sdn Bhd.

“Penubuhan syarikat ini dibuat dengan kerjasama seorang lagi rakan yang juga pesara tentera udara. Ketika menjalankan perniagaan inilah, beliau bertanya sama ada saya mahu melakukan sesuatu yang lain daripada orang lain. Jawapannya sudah pasti ya kerana sememangnya itulah yang terbaik sebagai usahawan. Lalu dia mencadangkan kami menceburi perniagaan dalam pengangkutan udara untuk pertahanan,” katanya.

Bagi Norida, tidak banyak yang diketahuinya mengenai jet tentera udara apatah lagi mengenai teknologi senjata. Namun, itu bukanlah penghalang untuk beliau menceburi bidang ini, malah Norida cukup berminat mendalami sesuatu yang disifatkannya ‘ilmu baru’.
 

“Dulu saya hanya kontraktor kelas A, tetapi saya fikir bagaimana hendak menjadi ‘ekstra’ daripada orang lain? Kebetulan pada 2000, bidang pembinaan mengalami penurunan. Saya adalah antara kontraktor yang pertama keluar daripada kepompong perniagaan ini dan mengambil keputusan untuk meninggalkan perniagaan dengan projek bernilai jutaan ringgit ketika itu. Saya minta rakan yang dipercayai untuk mengambil alih perniagaan pembinaan dan menceburkan diri dalam bidang pertahanan dan khidmat ketenteraan melalui syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd,” katanya.

Mengakui bidang berkenaan jarang, malah sukar diceburi golongan Bumiputera, Norida berkata beliau terpaksa bersaing dengan usahawan asing. Syarikatnya menyediakan latihan dan membekalkan alat ganti dan jet pejuang Russia seperti Sukoi dan light mig 21. Ketika menemuinya, Norida sempat memaklumkan kegembiraannya atas kejayaan terbaru beliau kerana berjaya mendapat projek yang selama ini dimonopoli peniaga asing untuk menyediakan jet penunda (target towing electronic warfare) untuk Kementerian Pertahanan. Bagi menyediakan perkhidmatan berkenaan, syarikatnya sudah membeli jet pejuang, MIG-29N.

“Perniagaan ini memerlukan modal yang cukup besar. Sebuah kapal terbang tentera saja bernilai lebih RM11 juta. Bukan sekadar pengangkutan udara, kita juga memerlukan kepakaran dalam bidang ini untuk menyediakan latihan dan kemudahan untuk pelanggan (Kementerian Pertahanan). Bagi menambah pengetahuan, saya banyak membaca selain belajar daripada rakan perniagaan. Di samping itu, saya banyak mengunjungi pameran peralatan ketenteraan di luar negara,” katanya.

Andai ingin berjaya dalam perniagaan, beliau mengingatkan wanita agar mementingkan ilmu pengetahuan. Pengetahuan luas membuka pelbagai jenis peluang perniagaan yang mungkin selama ini tidak diketahui boleh diterokai.
 

“Apapun yang kita lakukan, pastikan ia yang terbaik. Paling penting, adalah fokus terhadap apa yang dilakukan sehingga berjaya. Perkara yang perlu disedari, dalam perniagaan terlalu banyak kerja perlu dilakukan. Saya akui sering kali terpaksa bekerja sehingga larut pagi. Saya beruntung kerana memiliki suami yang memahami kerana beliau juga terbabit dalam bidang perniagaan pembinaan. Anak juga sudah menyedari kesibukan ibunya. Sokongan keluarga amat penting terutama bagi wanita yang bersuami dan mempunyai anak,” katanya.

Hari ini, Norida boleh berbangga dengan pencapaiannya. Siapa sangka, gadis yang dulunya menjual kuih di sekolah kerana ingin membantu menambah pendapatan keluarga, kini memiliki jet sendiri untuk ke mana-mana. Malah, Norida sendiri mencubit dirinya kerana tidak percaya, beliau sedang duduk di dalam jet miliknya sendiri yang membawanya terbang ke mana saja diingininya.

Sumber:

http://ebookforyou.blogspot.com/2007/06/personaliti-norida-tauke-jet.html

0 comments:

Post a Comment